Lebih 100 bot berarak kibar bendera Palestin di drawbridge
KUALA TERENGGANU - Lebih 100 bot yang dihiasi bendera Palestin menyusuri sepanjang sungai di Jambatan Angkat (drawbridge) di sini pada Sabtu sebagai tanda solidariti kepada rakyat di negara berkenaan yang ditindas rejim Israel.Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Terengganu, Yusuf Abdul Hadi berkata, bot berkenaan yang berlepas dari Marang pada jam 3.30 petang tadi itu menyusuri sungai sejauh kira-kira 20 kilometer dengan mengambil masa hampir satu jam untuk menuju ke lokasi terakhir di Jambatan Angkat.
Menurutnya, tujuan perarakan tersebut diadakan bagi memberi sokongan kepada penduduk Palestin selain mengecam tindakan kekejaman dilakukan rejim Zionis kepada penduduk di negara berkenaan."Sokongan ini atas keprihatinan kita atas apa yang berlaku di Gaza. Ia beri suatu mesej kepada penduduk di sana bahawa rakyat di Terengganu bersama-sama dengan mereka dalam perjuangan mempertahankan hak Palestin," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yusuf menyatakan perarakan bot yang dianjurkan Pemuda Pas Terengganu itu terbuka kepada semua pihak dari seluruh kawasan di negeri ini.Selain itu katanya, perarakan itu juga melibatkan pelbagai jenis bot manakala kira-kira 20 jet ski turut mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Palestin.
Sepanjang perarakan berkenaan, rakyat melaungkan 'Free Palestine' dan laungan takbir mengimarahkan suasana perarakan bot tersebut.Orang ramai yang hadir menyaksikan perarakan itu juga mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti mendoakan kesejahteraan rakyat di negara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!