Belanjawan 2024 manifestasi kerajaan kurangkan kos sara hidup - PM
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2024 Malaysia MADANI adalah manifestasi komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan peluang pekerjaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Anwar berkata, belanjawan yang bertemakan "Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” itu juga menterjemahkan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menyokong iklim pelaburan yang kondusif dalam suasana global yang kian berubah.
"Belanjawan ini merupakan suatu pernyataan iltizam Kerajaan Perpaduan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada (dunia masa kini) yang serba mencabar. Inilah masanya kita perbetul keadaan dan memastikan setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia dan hidup aman di negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan," kata Anwar.
Dalam hantaran sama Perdana Menteri turut berkongsi beberapa infografik ringkasan intipati Belanjawan 2024. Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam Anwar mengumumkan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan yang menggariskan tiga tumpuan iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.
Beliau berkata, Belanjawan 2024 menyaksikan hasil negara bertambah berikutan penstrukturan semula ekonomi dan fiskal serta pelaksanaan reformasi percukaian dan subsidi bersasar akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengangkat darjat hidup rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!