Bayi perempuan bertali pusat, uri ditemui dalam bakul
PENDANG - Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui dalam bakul di atas jalan berhampiran ladang getah di Kampung Datuk Syed Ahmad di sini pada Jumaat. Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bayi perempuan itu kira-kira jam 7.05 malam.
Menurut beliau, bayi yang dibalut dengan kain batik dan tuala itu ditemui dalam keadaan masih hidup dengan kesan darah bersama tali pusat serta uri.
"Sehubungan itu, polis bersama kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tiang yang tiba di lokasi kejadian membuat pemeriksaan dan mendapati bayi perempuan itu masih hidup. Kita percaya, bayi itu dipercayai ditinggalkan di kawasan itu kurang daripada 12 jam sebelum ditemui dan masih baru kerana mempunyai kesan darah," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Arriz Sham memaklumkan, bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pendang untuk pemeriksaan lanjut. Beliau menambah, susulan itu, dua individu termasuk seorang wanita dipercayai ibu bayi dan lelaki yang dipercayai pasangannya ditahan bagi membantu siasatan.
Kata beliau, tangkapan ke atas dua individu berusia berusia 20-an itu dilakukan secara berasingan di sekitar daerah Sik. Jelas Arriz Sham, lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting ditahan pada jam 12 tengah hari Sabtu, manakala wanita yang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit pula ditahan pada jam 12.15 tengah hari.
"Mereka bukan penduduk di daerah ini tetapi menetap di Sik tetapi siasatan masih dilakukan bagaimana bayi itu ditinggalkan di kawasan kejadian," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal mendapati, kedua-dua suspek bebas dari pengaruh dadah.
Katanya lagi, kedua-dua individu itu akan direman esok di Mahkamah Alor Setar untuk membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, Arriz Sham memaklumkan, bayi perempuan itu dalam keadaan sihat dan masih dirawat di hospital dan akan diuruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!