2 juta penduduk Gaza hampir kehabisan bekalan air

Dua juta penduduk di Gaza kini berdepan ancaman bahaya ekoran hampir kehabisan bekalan air. Foto: AFP
Dua juta penduduk di Gaza kini berdepan ancaman bahaya ekoran hampir kehabisan bekalan air. Foto: AFP
A
A
A

GENEVA - Dua juta penduduk di Gaza kini berdepan ancaman bahaya ekoran hampir kehabisan bekalan air, menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Sabtu.

"Keadaan sekarang ini antara hidup dan mati. Bahan api perlu dihantar segera ke Gaza untuk membolehkan air dibekalkan kepada dua juta penduduk. Sudah seminggu tiada bekalan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza," kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

Penduduk terpaksa menggunakan air kotor dari perigi selepas loji air Gaza dan rangkaian air awam berhenti berfungsi dan keadaan ini akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit bawaan air. Beliau berkata, Gaza juga mengalami gangguan bekalan elektrik sejak Rabu, yang turut menjejaskan bekalan air.

Bekalan air minum turut kehabisan di selatan Gaza, tempat ribuan penduduk mencari perlindungan.

"Dalam tempoh 12 jam, ribuan penduduk hilang tempat tinggal. Penduduk terpaksa berpindah ke selatan Gaza. Hampir sejuta orang telah meninggalkan rumah masing-masing dalam tempoh seminggu," kata Lazzarini.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!