Israel sasar kawasan perumahan rakyat Palestin
GAZA CITY - Pesawat perang Israel memperhebat serangan udara di utara Gaza pada Sabtu, yang menyasarkan rumah dan kemudahan di kem pelarian Jabalia, serta kawasan perumahan Al-Mashrooh di Beit Lahia, lapor Agensi Anadolu.
Berpuluh-puluh rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
Kementerian Kesihatan Palestin masih belum mengesahkan jumlah kematian dalam serangan tersebut.
Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 400,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal.
“Kebanyakan penduduk tidak mempunyai akses kepada air minuman bersih selepas bekalan melalui rangkaian air dan operasi loji penyahgaraman/penulenan air terhenti.
“Sebagai usaha terakhir, orang ramai menggunakan air payau dari telaga pertanian, mencetuskan kebimbangan serius mengenai penularan penyakit bawaan air,” menurut kenyataan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).
Pertempuran terkini di Palestin sejak 7 Oktober lepas telah mengorbankan ratusan nyawa. Dalam perkembangan sama, ribuan rakyat Palestin berlindung di Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Semenanjung Gaza susulan serangan udara tentera Israel yang berterusan.
“Penduduk berada dalam keadaan panik dan ketakutan. Penduduk memasang khemah di kompleks perubatan untuk keselamatan,” kata Pengarah hospital Mohamed Abu Slima di Facebook. - Agensi
INFO
-1,900 penduduk Palestin terkorban
- 614 kanak-kanak
-370 wanita
-35,000 berlindung di hospital
- -7,696 cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!