Agong zahir rasa dukacita pengunjung terkandas di Bukit Bendera

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian kegagalan operasi kereta api funikular di Bukit Bendera dekat sini malam tadi yang menyebabkan lebih 900 pengunjung terkandas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah bagaimanapun bersyukur kerana kesemua pengunjung yang terkandas itu selamat dan berjaya dibawa turun ke stesen bawah.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan Perbadanan Bukit Bendera (PHC) termasuk pengurus besar PHC Datuk Cheok Lay Leng, para jurutera dan kakitangan PHC serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang yang bertungkus lumus memastikan para pengunjung dapat dibawa turun dengan selamat dalam masa yang singkat.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka berharap masalah brek hidraulik kereta api funikular itu dapat diselenggara dan langkah-langkah diambil dengan segera agar kejadian semalam tidak berulang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Pulau Pinang berkata, kesemua mangsa dibawa turun menaiki pacuan empat roda ke Taman Botani sebelum dibawa menggunakan bas ke stesen bawah Bukit Bendera untuk mereka mengambil kenderaan dan pulang ke destinasi masing-masing.

Operasi membawa turun pengunjung yang terjejas itu bermula jam 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira jam 1.03 pagi serta kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Semalam PHC dalam kenyataan berkata, kereta api funikular tersebut tergendala akibat masalah kerosakan sistem.

Al-Sultan Abdullah hari ini mengakhiri rangka lawatan kerja selama tiga hari di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Hari ini Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima menghadap ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Zakat Negeri Pulau Pinang pada jam 10 pagi.

Seri Paduka kemudiannya dijangka berangkat pulang ke Kuantan, Pahang pada jam 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas dekat sini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 966 pengunjung terkandas di Bukit Bendera selamat dibawa turun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!