Pengawal keselamatan sekolah ditemui maut, tukang kebun ditahan
IPOH - Polis menahan seorang tukang kebun sekolah yang disyaki terlibat dengan satu kes bunuh seorang pengawal keselamatan di Bandar Sri Botani di sini yang ditemukan maut di dalam pondok pengawal sekolah berkenaan awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima panggilan pada pukul 3.34 pagi Sabtu mengenai seorang lelaki berusia 43 tahun ditemukan tidak sedarkan diri bersandar di dinding pondok pengawal keselamatan sekolah itu.
"Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan tukang kebun sekolah berkenaan dan merampas senjata yang disyaki digunakan suspek bagi membantu siasatan.
Yahaya berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat menunjukkan punca kematian pengawal keselamatan itu adalah kecederaan di bahagian abdomen akibat objek tumpul dan kes yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!