Mycare, Econsave lancar tabung dana kecemasan Gaza
JOHOR BAHRU - Musim sejuk yang hampir tiba pada penghujung Oktober ini pastinya akan membuatkan kehidupan rakyat Palestin yang kini berdepan serangan Israel menjadi lebih mencabar. Sekurang-kurangnya 1,900 rakyat Palestin terbunuh manakala 7,696 lagi cedera di mana 2,000 daripadanya adalah kanak-kanak yang tidak berdosa akibat serangan udara Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Kemusnahan infrastruktur termasuk kemudahan sekolah dan hospital meruncingkan lagi kehidupan rakyat di Gaza yang sudah sekian lama dicengkam dengan kemiskinan. Prihatin dengan nasib rakyat Palestin, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Johor bersama pasar raya Econsave melancarkan kutipan dana kecemasan Gaza.
Penasihatnya, Profesor Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, pihaknya menyasarkan sumbangan sebanyak RM500,000 dalam misi kempen berkenaan. Jelasnya, 94 cawangan pasar raya Econsave di seluruh negara akan menjalankan kempen kutipan dana tersebut.
"Sebelum itu, sejumlah RM50,000 bantuan perubatan telah diedarkan Mycare di Gaza. Seterusnya lebih banyak bantuan sedang diuruskan ibu pejabat di sini dan ibu pejabat di Gaza yang diketuai Dr Ziyad Saheda," katanya ketika ditemui sewaktu sidang akhbar solidariti untuk Palestin dan pelepasan konvoi amal motorsikal berkuasa tinggi di Taman Teratai, Skudai pada Sabtu.
Hadir sama, Pengurus Econsave Mas Imran Adam. Pada majlis itu turut dilancarkan tabung misi kemanusiaan ke Yaman dan Syria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!