Ipoh bukan lagi 'bandar mati' - Datuk Bandar
SUATU ketika dahulu, Ipoh dianggap sebagai 'bandar mati' kerana dikatakan tiada lagi aktiviti perniagaan di waktu malam. Ketika mengakuinya, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ketika itu ada pihak yang membuat sindiran kononnya orang boleh tidur di tengah-tengah jalan pada waktu malam. Selepas itu, Ipoh terkenal dengan kafe hipster yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Namun kini, Ipoh bukan lagi bandar mati, sebaliknya, kota itu sedang menyelusuri untuk menjadi bandaraya ceria dan bahagia. Ke arah itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meletakkan lima elemen ceria untuk menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandaraya bahagia. Rumaizi berkata, lima elemen itu ialah canggih, peluang ekonomi, rahmah, inklusif dan aman.
“Kalau nak ceria, dia mesti ada elemen Singapura atau Dubai (ekonomi), New York (canggih), Bhutan (aman) serta rahmah dan inklusif. “Jadi nak cari bandar macam itu, sangat susah, tetapi Ipoh akan berusaha untuk menuju ke arah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama media di perkampungan budaya di Taman Eko Batu Kapur di Gunung Rapat, di sini, baru-baru ini.
Berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022, tahap kepuasan hati penduduk di Ipoh disifatkan masih kurang walaupun tahap pembangunan dan infrastrukturnya mencatatkan peningkatan yang amat memberangsangkan. Walaupun Ipoh memperolehi skor sebanyak 88.7 peratus bagi tahun 2022, sedikit meningkat berbanding 81.1 peratus tahun sebelumnya, namun masih gagal mencapai 90 peratus ke atas.
Rumaizi berkata, mengikut kepada skala lama, ia hanya mempunyai elemen aman dan rahmah, tanpa mengambil kira elemen canggih, inklusif dan ekonomi.
“Tapi bila lihat dari elemen canggih, inklusif dan ekonomi, ia lebih baik sebab pendapatan perkapita di Ipoh sudah meningkat, sebelum ini kita adalah antara yang terendah. “Kecanggihan kita naik, dulu kita antara bandar paling lewat menerima Unifi, sekarang kita antara bandaraya paling awal dalam Malaysia menerima 5G,” ujarnya.
Rumaizi yakin, apabila kriteria baharu dilaksanakan kelak, penilaian indek kebahagiaan bandaraya Ipoh akan lebih menyeluruh.
“Ipoh tidak lagi menjadi bandar mati, seperti yang pernah digambarkan sebelum ini kononnya boleh bentang toto tidur di tengah jalan pada waktu malam,” katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!