Bas ekspres terbabas: Pemandu maut, tiga penumpang cedera
KLANG - Seorang pemandu maut manakala tiga penumpang cedera dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres di Jalan Meru berhampiran Hospital Columbia Asia dekat sini pada Ahad. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bas ekspres terbabit yang dinaiki enam individu termasuk seorang pemandu dan pembantu pemandu itu dipercayai dari Kuala Lumpur Sentral menuju ke Klang Sentral.
Beliau berkata, bas ekspres terbabit dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok di tepi jalan. "Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 4.24 pagi.
"Pelanggaran mengakibatkan pemandu bas ekspres berusia lingkungan 49 tahun itu tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, seorang mangsa patah kaki manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan serta mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!