Suri rumah Kampung Meranti jadikan memancing hobi waktu petang
PASIR MAS - Aktiviti memancing ikan lebih sinonim dengan golongan lelaki, namun menariknya aktiviti itu dijadikan hobi oleh sekumpulan suri rumah yang tinggal di Kampung Meranti di sini sejak sekian lama.
Lebih santai, wanita-wanita itu masing-masing mengenakan kain batik dan duduk bersila di tepi tali air di kampung berkenaan untuk memancing ikan jenis keli, haruan dan puyu pada setiap petang.
Seorang daripada mereka, Kalsum Awang, 70, berkata, dia berjalan kaki kira-kira 200 meter dari rumahnya ke tali air tersebut pada setiap hari selepas solat Asar dengan membawa sebatang rod untuk memancing.
Katanya, terdapat banyak ikan di tali air itu yang bersambung dengan Sungai Meranti sekali gus memberi rezeki kepada penduduk termasuk ibu tunggal kepada 11 anak sepertinya untuk dijadikan hidangan bersama keluarga.
“Setiap hari apabila saya datang memancing di sini, biasanya akan dapat tiga hingga lima ekor ikan bergantung kepada cuaca, kalau hari hujan tak boleh memancing, jadi kami tak datang.
“Kami akan tiba di tali air ini pada jam 5 petang dan memancing selama 2 jam serta akan pulang ke rumah sebelum masuk waktu Maghrib sambil membawa hasil tangkapan yang diperoleh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian dekat pada Ahad.
Sementara itu, ibu kepada tiga anak, Mazni daud, 50, pula berkata, dia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan hasil tangkapan di kawasan tali air tersebut, namun ia bergantung atas nasib dan rezeki masing-masing pada hari berkenaan.
Menurutnya, kadang-kala dia hanya memancing selama lima minit sudah berjaya mendapat hasil dan ada juga sehingga berjam-jam pun tidak memperoleh apa-apa.
“Saya pernah dapat tiga ekor ikan hanya dalam tempoh lima minit memancing tetapi kalau tak dapat ikan pun tak apa sebab aktiviti ini dilakukan untuk suka-suka bagi mengisi masa terluang pada waktu petang sahaja.
“Kehidupan cara kampung, kalau memperoleh ikan, dapatlah kami makan nasi ada lauk dan secara tak langsung boleh membantu meringankan beban suami saya yang hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu,” kata Mazni.
Seorang lagi suri rumah, Zamilah Mamat, 55, berkata, dia membelanjakan modal sebanyak RM40 untuk membeli dua rod memancing bagi melakukan hobi tersebut.
Katanya, umpan pula menggunakan cacing hidup yang hanya perlu dicangkul di belakang rumah masing-masing.
“Lebih seronok duduk memancing di tepi tali air kerana dapat menghilangkan rasa penat seharian menguruskan kerja-kerja rumah.
“Sementara duduk menunggu ikan mengena umpan, boleh berehat dan menenangkan minda serta badan selain berbual dengan jiran-jiran sekampung yang sama-sama datang memancing di kawasan ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!