Ragbi Piala Dunia: New Zealand kejutkan Ireland
NEW Zealand memadam impian Ireland untuk bergelar juara Piala Dunia Ragbi 2023 setelah tewas 24-28 kepada All Blacks di Paris awal pagi Ahad. All Blacks tampil pada perlawanan yang dinanti-nantikan dalam aksi yang berlangsung Stade de France dengan status sebagai pasukan bukan pilihan.
Ireland yang dibimbing Andy Farrell diletakkan harapan besar untuk mencipta sejarah sebagai pasukan Ireland pertama layak ke separuh akhir kejohanan itu. Bagaimanapun, mereka ketinggalan hampir sepanjang keseluruhan perlawanan dan gagal bangkit untuk membenarkan All Blacks mencongak perhitungan dengan Argentina bagi penentuan ke final.
Ketua jurulatih New Zealand, Ian Foster menyifatkan kejayaan ke atas Ireland yang diramal menang pada suku akhir Piala Dunia itu adalah antara kemenangan paling manis dalam kariernya.
“Saya cukup gembira. Ini adalah hari istimewa untuk kami. “Kemenangan paling manis adalah apabila lawan anda bermain dengan sangat baik dan menguji anda sehingga semaksimum mungkin. “Pada akhirnya, kami memenangi perlawanan ini,” katanya.
Menurut Foster, Ireland sedang membina sebuah pasukan yang hebat tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menewaskan anak buahnya. Kekalahan itu juga menamatkan rentetan 17 kemenangan berturut-turut buat Ireland dan menjadi penamat karier pemain veteran, Johnny Sexton yang menyepak masuk tujuh mata tetapi gagal menyempurnakan penalti penting dalam aksi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!