Hutan terbakar teruk, PM Australia dikecam bercuti ke Hawaii

Morrison terpaksa memendekkan percutian bersama dengan keluarganya selepas berdepan kecaman banyak pihak.
Morrison terpaksa memendekkan percutian bersama dengan keluarganya selepas berdepan kecaman banyak pihak.
A
A
A

CANBERRA - Perdana Menteri Australia, Scott Morrison semalam memohon maaf kerana beliau bercuti ke Hawaii ketika negara itu sedang bergelut dengan krisis kebakaran hutan yang semakin teruk.

Morrison dilaporkan terpaksa memendekkan percutian bersama keluarganya selepas berdepan kecaman banyak pihak.

"Ramai orang kecewa apabila mendapat tahu saya bercuti bersama keluarga sedangkan mereka sedang berdepan tekanan hebat akibat kebakaran itu," katanya selepas sesi taklimat bersama pegawai bomba.

Menurutnya, ramai penduduk cemas dengan situasi itu namun tiada apa yang perlu dikhuatirkan kerana tindakan kecemasan yang diambil oleh mereka adalah yang 'terbaik di dunia'.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Michael McCormack mengakui banyak tindakan perlu diambil untuk menangani pemanasan global selepas kebanyakan penduduk mengaitkan insiden kebakaran tersebut dengan fenomena tersebut.

Morrison bagaimanapun menafikan pemanasan global ada kaitan dengan kebakaran itu sebaliknya ia disebabkan oleh perubahan iklim yang mengubah corak cuaca.

Sebelum ini, saintis telah memberi amaran iklim yang lebih panas dan kering akan meningkatkan kebakaran di Australia walaupun perubahan iklim tidak dikaitkan secara langsung sebagai puncanya.

Sejak September lalu, sekurang-kurangnya sembilan maut manakala lebih 700 kediaman dan jutaan hektar tanah musnah selepas kebakaran itu kini merebak ke tiga negeri. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!