Penjawat awam perlu hidup ikut kemampuan, elak rasuah - Sultan Johor

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan penjawat awam di negeri ini dari peringkat bawahan hingga ke atasan supaya tidak terbabit dengan rasuah. Baginda bertitah, penjawat awam perlu hidup dalam kadar kemampuan sendiri dan peringatan itu bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam gejala rasuah.

“Semua penjawat awam hendaklah mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ini adalah salah satu cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa. “Pada masa sama, kerajaan boleh mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ini juga boleh menjadi faktor tekanan hidup, terutama di bandar-bandar besar,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada Ahad.

Sultan Johor bertitah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut membangkitkan perkara sama di mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah guna kuasa atau perbuatan rasuah. Titah Sultan Ibrahim lagi, penjawat awam di negeri ini perlu sentiasa menerapkan integriti tinggi yang mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

“Penjawat awam perlu hidup dalam kemampuan sendiri dan perlu ingat mana-mana penjawat awam hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas siasatan pihak berkuasa. “Anda (penjawat awam) semua diperhatikan. Sudah semestinya, mana-mana penjawat awam menjalani gaya hidup mewah melebihi taraf kehidupan yang munasabah menimbulkan tanda tanya,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!