Penduduk lega beruang matahari masuk perangkap
GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Jerek akhirnya berlapang dada apabila seekor beruang matahari yang berkeliaran dan bersarang di situ telah masuk ke perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pada Sabtu.
Penduduk Mohd Fahmi Aziz Matsin, 25, berkata, kehadiran beruang matahari jantan di dalam perangkap yang dipasang disedari kira-kira 8.30 malam selepas terdengar dentuman kuat di belakang rumahnya.
"Waktu itu saya baru selesai menunaikan solat isyak dan lantas mencari punca bunyi dentuman dan sebaik menjenguk ke luar rumah, saya mendapati pintu perangkap beruang yang terletak di belakang rumah sudah tertutup.
"Saya terus memaklumkan kepada kakitangan Perhilitan yang tinggal di kampung ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Jerek pada Ahad.
Terdahulu, dilaporkan 3,000 penduduk di kampung terbabit resah untuk keluar rumah pada waktu awal pagi dan malam sejak dua bulan lepas setelah beberapa penduduk terserempak dengan haiwan liar terbabit.
Menurut Mohd Fahmi, pada waktu yang sama dia dapat mendengar bunyi haiwan itu menderam dan merempuh dinding perangkap tanpa henti.
Seorang lagi penduduk Sabariah Mohamed Sayuti, 43, berterima kasih kepada tindakan efektif daripada Perhilitan yang telah berkampung di penempatan mereka sebagai usaha menangkap dan menjejak beruang itu sejak sebulan lepas yang akhirnya membuahkan hasil.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi menangkap beruang terbabit sudah bermula pada 14 Ogos dengan memasang perangkap berhampiran sekolah, namun dipindahkan ke belakang rumah penduduk pada 5 Oktober.
"Difahamkan ada dua ekor lagi beruang di kawasan ini dan saya menasihatkan kepada orang kampung supaya tidak memberanikan diri mendekati haiwan liar ini," katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu mencatatkan operasi penyelamatan beruang yang ketiga selepas penangkapan di Jeli dan Kuala Krai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!