Piala Supermokh: Lebih ramai Arif Aiman, Luqman akan lahir

Adam (berdiri, kiri) bersama pegawai dan pemain pada majlis makan malam sempena kejohanan Piala Supermokh 2023 di Gambang pada malam Sabtu.
Adam (berdiri, kiri) bersama pegawai dan pemain pada majlis makan malam sempena kejohanan Piala Supermokh 2023 di Gambang pada malam Sabtu.
A
A
A

LEBIH ramai pemain yang setanding malah lebih baik dari Luqman Hakim Shamsuddin dan Arif Aiman akan dihasilkan menerusi penganjuran kejohanan Piala Supermokh pada masa akan datang.

Ini terbukti apabila beberapa pemain yang terdiri dari produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mula meniti di bibir beberapa pasukan dari luar negara yang turut menyertai kejohanan Piala Supermokh 2023 bermula 10 hingga 14 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, penganjuran yang memasuki edisi ketujuh kali ini sangat berjaya dengan penyertaan beberapa pasukan ternama dari luar negara.

“Prestasi bakat-bakat muda tempatan yang berjaya ditonjolkan diri sebagai pemain yang sangat berkaliber dan pasukan yang sangat berkesan. Maksudnya itu juga jadi satu hasil daripada setiap program yang kita anjur dan jalankan. Ini satu berita sangat baik yang sudah semestinya perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Beberapa pemain yang kita anggap prospek menerusi kejohanan ini telah dicungkil dan mencuri minat di mana pemain (prospek) ini akan bermain di luar negara iaitu Jepun (Shonan Bellmare). Mereka akan terbang ke Jepun pada hujung bulan ini untuk mengikuti latihan di sana.

“Nampak ia satu hasil yang sangat baik dan mahu melihat lebih ramai lagi,” ujarnya pada majlis makan malam Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023 pada malam Sabtu.

Luqman yang juga generasi pertama daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu selain beberapa pemain seperti Umar Hakeem Suhar, Zikri Khalili, Harith Haiqal serta Arif Aiman Hanapi.

Tambahnya lagi, Kementerian Belia dan Sukan menggalakkan penyertaan pasukan dari negara serantau pada penganjuran kejohanan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“KBS menggalakkan kejohanan seumpama ini memandangkan ia tidak melibatkan kos yang banyak di mana kita boleh menjadikan AMD sebagai pusat latihan dan pada masa sama kita gunakan sebagai satu tempat penganjuran kejohanan yang memberikan pengalaman kepada semua berdepan pasukan-pasukan dari China, Croatia, Jepun dan Poland.

“Tentu sekali kita nak lihat lebih banyak lagi mungkin negara-negara serantau selepas ini antaranya Vietnam, Myanmar, Thailand dan Singapura boleh datang. Kita boleh susun lebih banyak lagi penganjuran yang serupa kejohanan Supermokh ini,” jelasnya.

Kejohanan Piala Supermokh di AMD Gambang, Pahang pada 10 hingga 14 Oktober membabitkan 24 pasukan dari 10 negara.

Sejak diperkenalkan pada 2014, tiga kategori diperkenalkan iaitu Bawah 12 (B-12), 13 dan 14 tahun dengan juara bertahan bagi setiap kategori turut serta pada kejohanan tahun ini.

Juara bagi kategori B-12 menjadi milik NFDP A yang menewaskan Johor Darul Ta’zim (5-2), kategori B-13 milik AMD DREAM dengan kemenangan menerusi sepakan penalti (5-4) ke atas Lech Poznan FC (Poland) selepas terikat 1-1 masa perlawanan.

Skuad Buriram United pula menjuarai kategori B-14 menewaskan SSBJ (6-0).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!