FAM dedah faktor kekal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil
KEPUTUSAN mengekalkan aksi final Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang menemukan Malaysia dan Tajikistan dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan yang wajar.
Malah keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dan penilaian daripada aspek teknikal bahawa padang itu boleh digunakan untuk aksi final pada Selasa.
Keputusan tersebut diputuskan susulan kerosakan padang di stadium itu ketika aksi Malaysia menentang India pada Jumaat ekoran rumput yang belum cukup matang.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusan tersebut turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain termasuk aspek logistik melibatkan sekretariat, petugas serta pasukan.
Beliau menambah, ketiadaan venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya turut diambil kira dalam memutuskan perkara tersebut.
Justeru katanya, FAM yakin dan percaya bahawa PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput tersebut menjelang Selasa ini.
“FAM hari ini (Ahad) ingin mengesahkan bahawa final Pestabola Merdeka 2023, Malaysia lawan Tajikistan kekal akan berlangsung di SNBJ pada 17 Oktober dengan sepak mula jam 9 malam.
“Keputusan ini dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium tersebut pada tengah hari,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac dan ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John meninjau keadaan padang itu.
Turut menyertai pemeriksaan padang itu ialah Pengerusi LOC Pestabola Merdeka 2023 yang juga Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.
Noor Azman berkata, selepas pemeriksaan itu, mesyuarat yang disertai pihak-pihak terbabit bersetuju untuk aksi final tetap dimainkan di stadium tersebut berdasarkan perkembangan positif pada kerja-kerja baik pulih padang berkenaan.
Malah beliau berkata, Pan-gon sendiri daripada segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh dimainkan dan berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di venue itu supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya.
“Dengan mengambil kira bahawa stadium ini merupakan 'Home of Harimau Malaya' dan jumlah penjualan tiket aksi final yang sudah melebihi 10,000 penonton setakat ini, tiada venue lain di sekitar Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti tersebut kecuali SNBJ.
“Jika dipindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada para penyokong setia Harimau Malaya yang telah pun membeli tiket-tiket tersebut kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang.
“Justeru dengan mengambil keputusan untuk kekal bermain di stadium ini, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan PSM di sepanjang tempoh beberapa hari menjelang Selasa ini bagi memastikan tahap atau keadaan padang dapat diminimumkan kerosakannya demi memastikan aksi final dapat berjalan dengan lancar,” katanya
Beliau menambah, FAM berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta PSM yang sudah berusaha keras dan sedaya upaya dalam menjayakan projek penukaran rumput baharu di stadium itu serta memastikan ia dapat digunakan pada Pestabola Merdeka 2023 ini.
“FAM turut menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kesudian baginda menaja pemasangan rumput baharu jenis Zeon Zoysia ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!