Malaysia Airport sasar RM5 juta dana untuk Palestin

Malaysia Airport
Malaysia Airport
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Airports menyasarkan kutipan RM5 juta menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin/AAKRP) sebagai tanda solidariti terhadap serangan di Gaza.

Pengerusinya, Tan Sri Zainun Ali berkata, inisiatif tersebut dilakukan bersama komuniti di lapangan terbang sekali gus menyumbang kepada kebajikan terhadap golongan yang memerlukan.

Menurutnya, antara pihak terlibat dalam kempen tersebut adalah anak syarikat Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd (Eraman) dan rakan kongsi serta penyewa komersial yang beroperasi di lapangan terbang bagi menyalurkan sumbangan.

“Kempen derma akan diadakan untuk menggalakkan pekerja Malaysia Airport membuat sumbangan peribadi dan kami berikrar untuk dipadankan sehingga RM1 juta.

“Sebagai syarikat utama pengendali lapangan terbang negara, kami ingin memimpin rakan kongsi perniagaan dan masyarakat untuk sama-sama membantu mereka yang terkesan akibat peperangan.

“Kami berbangga mendapat sokongan anak syarikat Malaysia Airports yang telah mengutip sumbangan lebih RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 7 Oktober lalu,media antarabangsa melaporkan, lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel pada Sabtu selepas sayap bersenjata Hamas mengumumkan pelancaran 'Operation al-Aqsa Flood'.

Susulan itu, Israel telah membalas serangan pada 8 Oktober terhadap penduduk di Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan 413 orang manakala 2,300 lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Zainun, usaha tersebut diharapkan dapat membantu rakyat Palestin yang kini berdepan dengan krisis peperangan.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan kongsi dan juga pekerja Malaysia Airport kerana menyertai usaha menyalurkan bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat Palestin pada waktu ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!