NSL 2023: Johor Jewels dalam kelas tersendiri

An Najwa (kiri) memacu kemenangan Jewels ke atas Tulips dalam saingan NSL 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto: NSL 2023
An Najwa (kiri) memacu kemenangan Jewels ke atas Tulips dalam saingan NSL 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto: NSL 2023
A
A
A

SKUAD Johor Jewels membuktikan status mereka sebagai juara bertahan apabila meneruskan momentum cemerlang setelah meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023. Selepas membenam musuh 'tradisi' KL Wildcats 45-43 dalam aksi pertama pada Jumaat dan Perak Phoenix 55-47 pada Sabtu, Jewels yang dibimbing Tracey Robinson terus garang pada hari ketiga kejohanan.

Mereka menjadikan Pahang Tulips sebagai mangsa ketiga menerusi kemenangan 54-23 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. Dalam aksi itu, gandingan goal shooter (GS), An Najwa Azizan dan goal attack (GA), Adri Sheila Jean Kannemeyer unggul memacu kemenangan buat pasukan.

Jewels memulakan suku pertama permainan dengan jaringan 14-7, dan meneruskan penguasaan perlawanan apabila konsisten mengutip mata untuk mempimpin suku kedua dengan 14-4. Gandingan GS Tulips, Nurul Izzah Zan Azizul dan GA, Nurirdina Sumaya Mohd Zaidi cuba bangkit pada suku ketiga, namun terpaksa berpuas hati dengan mata 6-15.

Jewels terus mendominasi perlawanan menerusi kutipan mata 11-6 untuk mengesahkan kemenangan dengan 54-23. Kemenangan bersih daripada tiga perlawanan itu enggan membuatkan Jewels berasa selesa sebaliknya akan terus membaiki kelemahan pasukan.

Penolong jurulatihnya Fazira Mesnan gembira dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya bermula aksi pertama Jumaat lalu. “Alhamdulillah tiga kemenangan. Permainan setakat ini sangat baik, prestasi pemain kian meningkat bermula dari aksi pertama, kedua dan seterusnya ketiga hari ini (Ahad).

“Pemain sudah lakukan yang terbaik. Kita juga telah masukkan (gilir) semua pemain dan ternyata berjaya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad. Dalam pada itu, pendatang baharu, Putrajaya Dynamites melakar kemenangan pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan Venom 59-39.

Dynamites yang dibimbing Puah Pei San pada Sabtu tewas tipis kepada KL Wildcats 53-54. Sementara itu, Perak Phoenix bangkit menumpaskan Terengganu Marvels 47-42 pada Ahad setelah kalah kepada Jewels 47-55 pada Sabtu. Phoenix dalam aksi sulung Jumaat lalu tampil cemerlang setelah menundukkan Venom 65-28.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!