Kereta api Bukit Bendera dijangka kembali berfungsi hari ini

Kereta api funikular Bukit Bendera dijangka berfungsi semula jam 1 petang ini.
Kereta api funikular Bukit Bendera dijangka berfungsi semula jam 1 petang ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera dijangka kembali beroperasi semula pada jam 1 petang ini selepas tergendala malam tadi.

Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan berkata, pasukan operasi kereta api funikular pusat peranginan itu sedang berusaha untuk membetulkan beberapa perkara berhubung perkhidmatan kereta api tersebut.

"PHC mengucapkan terima kasih kepada semua pelawat, penduduk dan pihak berkepentingan atas sokongan, kesabaran serta memahami sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan kereta api sejak semalam.

"Kami memohon maaf atas ketidakselesaan tersebut dan mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Bukit Bendera," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, kesemua 966 pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera selepas perkhidmatan kereta api funikular yang tergendala sejak jam 8 malam tadi berjaya dibawa turun ke stesen bawah dengan selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa dibawa turun menaiki pacuan empat roda ke Taman Botani sebelum dibawa menggunakan bas ke stesen bawah Bukit Bendera untuk mereka mengambil kenderaan dan pulang ke destinasi masing-masing.

Menurutnya, secara keseluruhannya seramai 966 pengunjung terjejas membabitkan 793 orang di stesen atas yang tidak boleh turun selepas kereta api funikular itu terkandas di stesen tengah yang mana ketika itu seramai 173 lagi berada di stesen tengah tersebut.

Sebelum kejadian, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat The Habitat antara destinasi tarikan di Bukit Bendera.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka berdua menaiki funikular ke stesen atas puncak Bukit Bendera pada jam 4.30 petang diiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee serta Pengurus Besar PHC, Datuk Cheok Lay Leng.

Bagaimanapun rombongan Seri Paduka selamat turun dari puncak Bukit Bendera kira-kira jam 7 petang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: 150 pengunjung Bukit Bendera terkandas

966 pengunjung terkandas di Bukit Bendera selamat dibawa turun

Agong zahir rasa dukacita pengunjung terkandas di Bukit Bendera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!