Muda mahu menteri KPDN dilantik segera
JOHOR BAHRU – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap agar kerajaan segera melantik seorang menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Menurutnya, sudah hampir tiga bulan kementerian berkenaan tidak mempunyai seorang menteri bagi menguruskan pelbagai urusan.
“Cuba cakap, bila nak lantik menteri iaitu menteri KPDN? Takkan kita nak mengharapkan Perdana Menteri turun ke lapangan setiap hari? “Ini 'basic', bukan setakat masalah beras tetapi ini sebagai 'triple threat' beras, gula kawalan harga dan juga minyak paket kawalan harga. “Ini kerana, selagi ketiga-tiga barang kawalan harga ini tiada di pasaran rakyat akan terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak walaupun kadar inflasi negara terkawal antara dua hingga ke tiga peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Johor Bahru pada Sabtu. Sementara itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya menuntut penjelasan berhubung isu kekurangan atau ketiadaan bekalan beras di pasaran ketika ini. Ahli Parlimen Muar itu berkata, berdasarkan tinjauannya ke pasar raya, kilang dan pemborong ternyata apa yang berlaku di lapangan dengan apa yang dipaparkan di media ternyata berbeza.
“Ternyata kedua-duanya sangat berbeza. Saya berikan contoh apa yang dilaporkan bahawa pasar raya menerima contohnya 200 kampit beras tempatan 10 kg (kilogram) dengan kawalan harga RM26 tetapi apabila saya turun mereka katakan mereka hanya terima 10 hingga 20 kampit beras. Jadi itu perlukan penjelasan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!