100 cedera dalam gempa bumi di barat laut Afghanistan
KARACHI - Sekurang-kurangnya 100 orang cedera selepas satu lagi gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan barat laut Afghanistan pada Ahad.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) mendapati pusat gempa adalah kira-kira 34 kilometer di luar Herat, lapor Agensi Anadolu.
Pegawai kesihatan tempatan, Farhad Afzali, mengesahkan jumlah mangsa yang cedera tetapi tidak memberikan butiran lanjut, menurut penyiar tempatan Tolo News.
Kenyataan Kementerian Penerangan Afghanistan berkata, gempa bumi terbabit menggegarkan Herat dan wilayah berhampiran dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di kebanyakan kawasan.
Herat yang bersempadan dengan Iran telah dilanda beberapa siri gempa bumi sejak minggu lalu.
Gempa bumi kuat pada 7 Oktober lalu telah mengorbankan lebih 2,000 orang, manakala beribu-ribu lagi dilaporkan cedera di wilayah berkenaan. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!