Kewujudan teknologi AI faktor keanggotaan JSJK perlu ditambah - Ramli
SHAH ALAM - Kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta beberapa teknologi terkini antara faktor Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) perlu diperkuat daripada segi keanggotaan.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah keanggotaan sedia ada perlu dipertingkatkan dalam menangani jenayah penipuan masa kini.
"Jika dahulu penipuan dilakukan secara bersemuka, namun kini semuanya menerusi dalam talian dan kewujudan teknologi AI juga terutamanya melibatkan urusan perniagaan, perbankan dan pelbagai urusan lain.
"Kewujudan teknologi terkini ini melihatkan kepada perlunya kepakaran dari sudut anggota serta pegawai mahir dan perkara ini sudah pastinya memerlukan penambahan sumber manusia itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Ramli, kecanggihan teknologi terkini dalam masa sama akan diambil kesempatan oleh penjenayah terlibat bagi memerangkap mangsa.
"Cabaran untuk kita hadapinya bukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun lagi tetapi ia dilihat berkembang dengan begitu pantas dan dari situ kita memerlukan bukan sahaja penambahan kepakaran malahan teknologi serta kewangan.
"JSJK pada masa sama perlu berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi perkembangan kecanggihan teknologi ini," katanya.
Ramli berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkaitan langkah penstrukturan keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan beberapa jabatan termasuk JSJK.
"Secara peribadi saya amat menyokong penuh dan mengalu-alukan kenyataan beliau itu, memandangkan ketika ini, kekuatan keanggotaan JSJK sekitar lebih 2,000 anggota dan pegawai.
"Memang dilihat seperti saya ungkapkan, kepada arus perkembangan masa kini, sememangnya keperluan dari segi penambahan itu ada dan saya difahamkan Jabatan Pengurusan sedang dalam urusan berkaitan perkara itu," katanya.
Pada 8 Oktober lalu, media tempatan melaporkan PDRM akan menstruktur semula jumlah keanggotaan dalam setiap pasukan berdasarkan keperluan dan cabaran tugas semasa.
Razarudin berkata, penyelarasan itu membabitkan beberapa jabatan termasuk JSJK.
Beliau berkata, pasukan yang akan dikurangkan keanggotaan pula membabitkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).
Menurutnya, ketika ini PDRM mempunyai kekuatan 130,000 pegawai dan anggota dengan jumlah itu mencapai standard piawaian antarabangsa iaitu seorang anggota kepada 250 orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!