Garrido pilihan terbaik Harimau Muda - Hamidin
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan ketua jurulatih baharu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Juan Torres Garrido sebagai individu terbaik membimbing skuad berkenaan menghadapi Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Garrido, 43, dipilih kerana warga Sepanyol itu memahami selok-belok Harimau Muda berikutan pernah berkhidmat bersama bekas ketua jurulatih, E Elavarasan sebagai pembantunya sebelum ini.
"Garrido merupakan pilihan terbaik yang kita ada serta pernah bersama sistem kejurulatihan Elavarasan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menyantuni bekas legenda bola sepak negara, Khalid Ali, P Darmalinggam dan S Pusphanathan dalam program Ziarah Kasih di sini hari ini.
Turut hadir pada program bersempena Karnival UNITI Pestabola Merdeka 2023 itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Hamidin berkata, beliau dijadual bertemu Garrido bagi membincangkan lebih lanjut perancangan dilaksanakan pihaknya untuk skuad Harimau Muda, minggu depan.
Sementara itu, Khalid yang menghidap kanser paru-paru tahap empat berkata, beliau tetap bersemangat melawan penyakit tersebut sejak April lalu walaupun dirinya kadang kala berasa lemah.
"Saya pohon doa semua (untuk sembuh) dan Insya-ALLAH saya akan cuba atasinya dengan baik,” kata bekas pemain tengah berusia 66 tahun itu.
Khalid, yang merupakan watak penting membawa skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, turut menghargai sokongan serta sumbangan diberikan FAM, Kementerian Perpaduan Negara dan Yakeb hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata, program tersebut dianjurkan bagi mengenang jasa legenda bola sepak negara yang telah membawa nama Malaysia ke peringkat dunia selain menjadi simbol perpaduan negara.
Noorul Ariffin yang teruja dapat bekerjasama buat kali pertama bersama FAM menziarahi bekas pemain bola sepak kebangsaan, berharap jalinan kedua-dua pihak akan diteruskan lagi pada masa depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!