Belia #QuranHour pertama di Kelantan
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Program #QuranHour yang dicetuskan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) terus kukuh menyebarkan syiar Islam menerusi penganjuran Belia #QuranHour yang julung kali diadakan di Kelantan di sini pada Ahad.
Program tadabbur yang memfokuskan golongan berusia 15 hingga 40 tahun itu dilaksanakan di Masjid Omar Abdul Aziz (MOAA) menerusi penganjuran Belia MOAA dengan kerjasama Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK).
Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, program itu bertepatan dengan cabaran masa kini yang didepani oleh golongan tersebut terutamanya gejala sosial yang tercetus daripada pengaruh gajet, pornografi dan rakan sebaya.
Katanya, kelompok belia perlu sentiasa diperingatkan untuk melakukan persiapan diri dengan melengkapkan ilmu pengetahuan dan agama termasuklah membaca, memahami serta mengamalkan al-Quran.
“Umum boleh melihat keadaan golongan meniti usia remaja ke dewasa yang dipanggil belia ini begitu ramai hidup dalam keadaan terumbang-ambing akibat goyahnya amalan agama.
“Kehidupan menjadi tidak teratur kerana leka dengan keduniaan dan untuk menjadi muslim dan muslimah yang baik ialah kembali kepada akhlak al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Program Belia #QuranHour di MOAA di Ketereh di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Imam Tua MOAA, Mohd Fakhrullah Mat Ripin.
Menurut Adnan, seramai kira-kira 100 para belia menyertai program tadabbur surah al-Mu’minun ayat 1-11 dan pihaknya berhasrat untuk meneruskan program ke siri kedua serta seterusnya pada masa depan.
Lebih istimewa, Belia #QuranHour itu turut disertai johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang berstatus orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dan mengetuai bacaan serta pentadabbur Muhammad Bokhari juga Jurulatih Tadabbur al-Quran Akademi Sinergi Sdn Bhd.
Katanya, PRNNK baru selesai melengkapkan program turun padang bertemu orang ramai melalui Konvoi Jelajah Pencinta Al-Quran melibatkan 10 daerah di Kelantan iaitu Bachok, Pasir Putih, Gua Musang, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Kota Bharu.
“Selepas ini kita akan fokus kepada belia untuk kembali dan mencintai al-Quran. Belum pandai baca Quran tidak mengapa, boleh baca tafsirnya dan lama-kelamaan akan timbul rasa cinta akan al-Quran.
“Ilmu al-Quran juga boleh diperbanyakkan menerusi pembelajaran yang dilayari di media-media sosial berbanding membuang masa menonton perkara lalai di medium itu,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!