Harimau Malaya mahu lunas dendam ke atas Tajikistan

Sekitar sesi latihan skuad bola sepak negara menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 di Wisam FAM pada Ahad.
Sekitar sesi latihan skuad bola sepak negara menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 di Wisam FAM pada Ahad.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya mahu meneruskan momentum menumpaskan pasukan di ranking lebih tinggi apabila menentang pasukan ke-110 dunia, Tajikistan, di pentas final Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Biarpun berada di ranking ke-134, skuad Harimau Malaya mengejutkan pasukan ranking ke-102 dunia, India dengan keputusan 4-2, Jumaat lalu, untuk mara ke final.

Sebelum itu, dalam usaha memperbaiki ranking dunia, skuad bimbingan Kim Pan Gon telah seri 2-2 dengan Syria (93) dan 1-1 dengan China (80) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, bulan lalu.

Pemain tengah, Stuart Wilkin berkata, selain merangkul gelaran juara Pestabola Merdeka, perlawanan menentang Tajikistan juga merupakan peluang untuk membalas dendam atas kekalah 0-3 melalui sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan pada final Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.

"Kami akan turun dengan yakin tetapi bukan dengan keyakinan terlampau. Ia sukar untuk berdepan dengan pasukan yang ranking lebih tinggi tetapi kami suka cabaran.

"Saya percaya prestasi kami telah meningkat dalam setiap kem latihan dan suka beraksi dengan pasukan-pasukan ranking lebih tinggi. Saya rasa kami sepatutnya berada di ranking lebih tinggi dan ingin membuktikannya dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita semasa latihan di Wisma FAM, pada Ahad.

Apabila ditanya mengenai keadaan padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil terjejas ketika aksi menentang India Jumaat lalu, pemain berdarah kacukan Malaysia-England berusia 25 tahun itu berkata, mereka bersedia untuk sebarang keadaan dan akan menggunakan kelebihan sokongan penonton tempatan untuk bermain lebih baik.

Sementara itu, pemain bek kiri, La’Vere Corbin-Ong berkata, skuad Harimau Malaya di bawah bimbangan Pan Gon ingin memperagakan aksi baik dan membuktikan kebolehan kepada rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Pertemuan kali terakhir dengan Tajikstan di Piala Raja Thai dalam keadaan hujan lebat dan mereka cukup agresif dan kuat secara fizikal. Sekarang perlawanan final di sini sama sekali berbeza.

"Semua pemain teruja dan akan memberi persembahan bertenaga untuk merangkul kejuaraan ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!