Peluang Harimau Malaya julang trofi
SKUAD Harimau Malaya berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka 2023 apabila akan membuat perhitungan dengan Tajikistan dalam aksi final di venue keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Malah, ia juga menjadi pentas terbaik buat anak-anak buah Kim Pan-gon melunaskan dendam ke atas pasukan yang menghuni ranking ke-110 dunia itu selepas dikecewakan pada aksi final Piala Raja Thai di Chiang Mai, September tahun lalu.
Justeru, jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah mengingatkan Harimau Malaya memanfaatkan peluang yang ada bagi merangkul piala berprestij itu di hadapan penyokong sendiri.
“Ia juga menjadi peluang terbaik buat Pan-gon meraih trofi pertama bersama Harimau Malaya. Skuad terbaik yang dimiliki mampu beri kelebihan dan peluang Malaysia juga cerah untuk melakar kejayaan.
“Malah, motivasi pemain juga berada pada tahap terbaik selepas menang ke atas India Jumaat lalu. ‘Ekor Harimau’ (penyokong) turut memberi sokongan padu yang tak berbelah bahagi untuk menyuntik semangat pemain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Malaysia yang menghuni ranking ke-134 dunia mara ke final setelah menundukkan India 4-2 dalam aksi yang mengundang bualan ramai apabila padang di Stadium Nasional Bukit Jalil mengalami kerosakan susulan rumput yang ditanam belum cukup matang.
Mengulas perkara tersebut, Mohd Azraai berharap barisan pemain Harimau Malaya dapat memberikan fokus kepada permainan berbanding memikirkan soal padang.
“Biarpun situasi itu memalukan dan menjejaskan imej negara, namun tumpuan para pemain kepada permainan adalah lebih penting dalam misi Malaysia memburu trofi,” ujarnya.
Menyentuh kemungkinan taktikal yang bakal digunakan Pan-gon pada aksi penting tersebut, beliau percaya pengendali Harimau Malaya itu sudah pasti mempunyai strategi tersendiri untuk memerangkap pasukan lawan.
“Kelebihan dua pemain pertahanan, Matthew Davies dan Corbin Ong dijangka dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pan-gon untuk membantu jentera depan bagi mengasak kubu lawan.
“Mereka adalah pemain berkualiti dan mempunyai kelebihan membuat hantaran yang baik kepada rakan-rakan di bahagian serangan untuk memburu gol,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!