Harga ayam, telur: FLFAM, KPKM bincang hari ini
SHAH ALAM - Penentuan dan hala tuju harga bekalan ayam serta telur di pasaran dibincangkan pada Isnin.
Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffery Ng Choon Ngee berkata, pertemuan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu adalah sebagai usaha meringankan bebanan para penternak.
Beliau berkata, perbincangan itu juga diharap menjamin bekalan telur dan ayam dalam pasaran.
“Esok (Isnin) kita akan bincang dengan KPKM. Kita nak tengok apa hala tuju kerajaan dan apa yang kita dapat bantu.
“Kalau (pihak kami) ada masalah pun, jika kerajaan boleh bantu ia dapat meringankan sedikit beban supaya kita dapat menjamin bekalan telur dan ayam dalam pasaran.
“Kami menyokong keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga telur dan ayam.
“Cuma kalau tanya harga (yang ditetapkan itu) sampai (tahap) mana, kita tidak tahu sebab ia tertakluk kepada permintaan bekalan,” katanya ketika dihubungi kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat, kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan untuk menyeimbangkan dan mengapungkan harga ayam serta telur lebih rendah daripada harga apungan sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur mula stabil selain harga pasaran semasa berada di bawah harga siling kawalan.
Dalam pada itu, ujar Jeffery, memandangkan bekalan telur dan ayam dalam pasaran masih lagi mencukupi, harga yang ditetapkan sepatutnya tidak berubah terlalu ketara.
Katanya, sehingga kini harga kawalan untuk telur dan ayam masih berkuat kuasa sehingga pengumuman daripada kerajaan dibuat.
“Sekarang ini untuk telur gred C adalah 35 sen sebiji, gred B (37 sen), dan gred A (39 sen).
“Bagi ayam pula, kerajaan tetapkan RM6 sekilogram. Itu pun lebih dari setahun sebab sejak Februari, 2022 hingga sekarang, masih pakai harga itu.
“Harga jualan di pasaran ialah RM9.40 untuk ayam standard. Kalau harga Sabah dan Sarawak, harganya berlainan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!