Aib keluarga tak perlulah dicanangkan di media sosial
MERAK Jalanan sebenarnya tak mahu masuk campur hal keluarga, tetapi disebabkan satu isu panas yang berlaku terhadap seorang artis popular tempatan ketika ini, Merak Jalanan terpanggil untuk memberi pandangan.
Sejak dari dulu Merak Jalanan kagum melihat bakat artis ini, malah yakin dia boleh pergi jauh. Namun kebelakangan ini reputasinya agak tercalar dek kerana kemelut berlaku dalam keluarganya.
Pendedahan demi pendedahan dibuat di media sosial oleh si ibu, anak, menantu dan bekas menantu. Bagi Merak Jalanan, semua itu membuka aib keluarga itu sendiri. Paling menyedihkan, semuanya didedahkan secara sukarela kerana tiada sesiapa waima wartawan sekalipun bertanya atau menemu bual.
Merak Jalanan tahu, mungkin mereka mahu berkongsi perasaan dengan orang ramai dan terpulanglah kepada masyarakat untuk memihak kepada siapa yang dirasakan betul.
Merak Jalanan bagaimanapun tidak mahu memihak kepada sesiapa cuma simpati dengan perbuatan berkongsi hal dalaman keluarga secara terbuka di media sosial.
Cara itu tidak akan selesaikan masalah sebaliknya akan lebih memberi kesan buruk berpanjangan terhadap keluarga berkenaan.
Bak kata sahabat Merak Jalanan, walaupun sekiranya isu tersebut selesai dan kesemua ahli keluarga bermaaf-maafan, namun aib yang dimuat naik di dalam media sosial akan terus berkekalan kerana sudah tular.
Nasihat Merak Jalanan kepada semua, sekiranya ada masalah keluarga, selesaikanlah secara dalaman tanpa perlu menghebahkan keburukan satu antara lain di media sosial.
Perlu diingatkan, zaman sekarang ini ramai orang lebih suka melihat kontroversi dihadapi orang lain berbanding kejayaan diraihnya.
Bahkan, kalau dihebohkan di media sosial pun, tidak ada netizen yang boleh membantu mereka menyelesaikan masalah kecuali keluarga itu sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!