Cuba lantik PM pertama selepas lebih 40 tahun
HAVANA - Cuba semalam melantik Perdana Menteri pertama dalam tempoh lebih empat dekad selepas jawatan itu kali terakhir dipegang oleh Fidel Castro.
Pelantikan Manuel Marrero, 56, yang pernah memegang jawatan Menteri Pelancongan itu adalah sebahagian daripada usaha perubahan bertujuan untuk memperluaskan dan melindungi pemerintahan Parti Komunis di negara itu.
"Cadangan itu diluluskan oleh biro politik Parti Komunis. Sepanjang kariernya, beliau disifatkan sebagai individu yang sederhana, jujur, sensitif terhadap politik dan taat setia kepada parti serta revolusi.
"Marrero juga telah memimpin industri pelancongan dengan cara yang baik yang merupakan salah satu garis utama pembangunan negara," kata Presiden Miguel Diaz-Canel ketika membentangkan usul itu kepada Perhimpunan Kebangsaan dan mendapat kelulusan secara sebulat suara.
Marrero memulakan kerjayanya dalam bidang politik pada tahun 1999 sebagai Timbalan Presiden Gaviota Hotel Group milik angkatan bersenjata dan setahun kemudian memegang jawatan presiden sehingga 2004.
Pada 2004, beliau berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan di bawah pentadbiran pejuang revolusi, Fidel Castro dan meneruskan peranan itu sehingga di bawah tampuk pemerintahan Diaz-Canel. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!