Terengganu rancang buka galeri arkeologi maritim

Razali (tengah) ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong.
Razali (tengah) ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong.
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu merancang untuk mewujudkan sebuah galeri arkeologi maritim bagi menempatkan artifak bersejarah daripada beberapa bangkai kapal yang karam (shipwreck) di dasar perairan negeri berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, setakat ini terdapat beberapa lokasi kapal karam telah dikenal pasti di negeri ini antaranya Pulau Bidong di Kuala Nerus, Pulau Kapas di Marang dan Pulau Tenggol di Dungun.

"Usaha ini dijalankan supaya dapat memulihara warisan sejarah yang ada di dasar laut Terengganu bagi menarik kedatangan pelancong terutama peminat sejarah maritim dan arkeo-pelancongan bawah air dari seluruh dunia.

"Khazanah-khazanah (barangan berharga dari kapal karam) yang ada di dasar laut di negeri ini dapat disimpan supaya dibuat penyelidikan dan sebagainya.

"Kita masih dalam peringkat cadangan dan kalau boleh nak wujudkan galeri itu dalam masa terdekat ini. Mengenai lokasi masih belum diputuskan lagi tetapi kita rancang buka galeri itu di tanah besar (mainland) sebab nak simpan lebih banyak koleksi artifak kapal karam dari pelbagai tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong, di sini pada Ahad.

Sekumpulan penyelamat mula menaiki bot untuk melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong
Sekumpulan penyelamat mula menaiki bot untuk melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong

Mengulas lanjut, Razali menyatakan usaha mewujudkan galeri ini akan dilakukan dengan beberapa jabatan dan agensi antaranya Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Majlis Pengurusan Taman Negeri (MTPN) Terengganu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan JWN dan UMT bagi mendapatkan pengiktirafan awal daripada SPAFA (Southeast Asian Archaeology and Fine Arts) di peringkat ASEAN dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk merealisasikan impian mewujudkan galeri arkeologi maritim berkenaan.

"Kita akan berbincang dengan lebih terperinci untuk menentukan lokasi bersesuaian, proses dokumentasi yang diperlukan dan usaha eskavasi akan dilakukan untuk menaikkan artifak bersejarah ini ke daratan," jelasnya.

Dalam pada itu, Razali berkata, semua artifak berharga tersebut perlu dilindungi dari ancaman pencuri yang dipercayai mempunyai rangkaian sindiket kerana nilainya yang tinggi di pasaran.

"Penceroboh ini bukan sahaja terdiri daripada orang tempatan malah luar negara kerana mereka tahu kewujudan kapal-kapal tenggelam ini.

"Mereka akan selam dan curi barangan itu untuk dibawa balik ke kawasan masing-masing. Jadi perlunya usaha untuk kita simpan artifak daripada dicuri oleh penceroboh tersebut," ujarnya.

Kapal karam yang ditemui di perairan pulau itu pada 2012 dikenali sebagai 'The Bidong Shipwreck dipercayai karam sekitar kurun ke-14 dan ke-17.

Ketika ini, lokasi penemuan kapal karam itu sudah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan artifak serta tinggalan kapal karam di lokasi tersebut dilindungi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!