Bina lebih banyak pusat pengajian al-Quran OKU di tanah wakaf
KOTA BHARU - Qari Malaysia Muhammad Qayyim Nizar Sarimi mencadangkan agar lebih banyak pembinaan institusi tahfiz, dakwah dan tempat pembelajaran al-Quran khusus kepada orang kurang upaya (OKU) dibuat di atas tanah wakaf melalui pertambahan dana pinjaman mudah kepada RM500 juta yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2024 Jumaat lalu.
Pembangunan institusi itu mestilah dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran dan tenaga pengajar yang mahir untuk membantu OKU seperti pengajian al-Quran braille bagi mereka yang cacat penglihatan. Muhammad Qayyim Nizar yang juga OKU penglihatan berkata, kelas-kelas pengajian braille sememangnya sudah sedia ada di negara ini, namun institusi yang lebih canggih serta khusus untuk golongan itu masih perlu ditambah.
“Di Malaysia yang dapat kita lihat, tidak banyak tahfiz-tahfiz untuk pelajar OKU. “Jadi, amat penting tanah-tanah wakaf digunakan untuk membina kemudahan kepada golongan ini berbanding setiap kali pemberian tanah wakaf, dibina pusat tahfiz tetapi hanya untuk orang normal,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, institusi khas kepada kumpulan itu akan dapat membantu melahirkan lebih ramai hufaz dalam kalangan OKU selain memberikan peluang mereka mendalami ilmu agama sebagai persediaan berdikari. Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam turut menyokong pembangunan lebih banyak institusi agama di tanah wakaf sekali gus dapat membantu mengimbangi keadaan sosial dan menyelesaikan banyak permasalahan terutama melibatkan golongan remaja masa kini.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, gejala melibatkan remaja semakin rumit seperti terbabit dengan jenayah seksual akibat pengaruh gajet selain faktor ekonomi yang tidak menentu. Menurut beliau, rakyat amat berbangga dengan tindakan kerajaan yang jelas membuktikan Persekutuan prihatin terhadap isu-isu melibatkan pembangunan dan pengukuhan ajaran agama Islam.
“Selama ini kita banyak memperkatakan tentang tanah wakaf tetapi kadang-kadang ada yang terbiar begitu sahaja. Jadi, inisiatif kerajaan yang begitu banyak ini akan dapat digunakan untuk memanfaatkan tanah-tanah wakaf di seluruh negara. “Pembangunan itu akan dapat memberi latihan kepada para pendakwah untuk melaksanakan dakwah secara lebih meluas kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Imam Tua MOAA, Mohd Fakhrullah Mat Ripin berkata, institusi kemahiran juga boleh diwujudkan bagi membantu OKU untuk meningkatkan ekonomi mereka. Katanya, selain memantapkan ilmu agama, golongan terbabit juga memerlukan kemahiran pengurusan diri dan kewangan supaya tidak terus bergantung kepada bantuan semata-mata.
“Selain itu, tanah wakaf juga boleh digunakan untuk penambahan kawasan perkuburan. “Misalnya di Ketereh ini ada dua tanah kubur yang perlu menampung 30,000 penduduk dan masih memerlukan kawasan tambahan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!