Homestay Perak tampil elemen seni budaya tarik pelancong
IPOH - Persatuan Homestay Perak menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Perak bagi menyuntik elemen seni dan budaya rakyat di negeri ini kepada pelancongan menjelang Tahun Melawat Perak 2024.
Pengerusi Persatuan Homestay Perak, Noradidah Mokhtar berkata, kolaborasi tersebut merupakan julung kali diadakan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di Perak selain memperkenalkan seni dan budaya di negeri ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian kelainan yang ditampilkan dalam usaha mempelbagaikan produk pelancongan di Perak.
"Setiap inap desa di Perak mempunyai produk pelancongan tersendiri seperti ekopelancongan, agropelancongan dan sebagainya mengikut lokasi masing-masing, namun elemen seni dan budaya ini menarik untuk ditampilkan sebagai salah satu tarikan di inap desa masing-masing.
"Sebab itu kita melihat semua inap desa boleh melaksanakan aktiviti seni dan budaya kepada pelancongan dengan bantuan serta nasihat daripada JKKN Perak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Seni Homestay Perak 2023 di sebuah kompleks beli-belah di Klebang di sini, pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Abdullah.
Sementara itu, Noradidah berkata, pihaknya juga telah mempersiapkan kesemua 10 inap desa yang berdaftar dengan Persatuan Homestay Perak dengan pelbagai pakej menarik menjelang Tahun Melawat Perak 2024.
Menurutnya, melalui kolaborasi bersama JKKN Perak, ia akan memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan disediakan oleh pengusaha inap desa di negeri ini.
Dalam pada itu, Abd Rashid berkata, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama tersebut kerana ia secara tidak langsung menyemarakkan kefahaman mengenai seni dan budaya di negara ini khususnya di Perak.
"Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak. Jika pihak persatuan ada penari tetapi tiada jurulatih, mereka boleh berhubung dan kita akan hantar jurulatih. Begitu juga kalau mereka memerlukan nasihat berkaitan seni, budaya dan sebagainya kita akan bantu.
"Apa yang kita mahukan, persembahan seni atau budaya yang mahu ditonjolkan itu asli supaya tidak berlaku kekeliruan atau salah faham dalam kalangan pengunjung nanti. Kalau pakaian Puteri Perak, biarlah betul cara pemakaiannya, begitu juga yang lain-lain," katanya.
Menurutnya, seni dan budaya bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata kerana terdapat falsafah yang terkandung di sebalik gerak tari mahu cara pemakaian busana itu.
Beliau berkata, Persatuan Homestay Perak perlu ke hadapan dalam membawa identiti sebenar seni dan budaya rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!