JAIPs tarik balik kebenaran kutipan Aman Palestin

Laman Facebook rasmi ProMedia Tajdid memuat naik surat dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis berkaitan kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin di premis agama di Perlis.
Laman Facebook rasmi ProMedia Tajdid memuat naik surat dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis berkaitan kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin di premis agama di Perlis.
A
A
A

KANGAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) mengesahkan telah menarik balik kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin di Perlis sehingga siasatan selesai.

Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata, kebenaran kutipan oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu dihentikan berkuat kuasa Khamis lepas.

Beliau memaklumkan, tindakan terbabit dilakukan berdasarkan surat diterima JAIPs daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis

"Ia berikutan Jabatan Mufti Negeri Perlis ada menerima aduan mengenai isu Aman Palestin ini.

"Susulan itu, JAIPs telah menarik balik kebenaran kutipan oleh Aman Palestin berkuat kuasa 12 Oktober 2023 hingga siasatan selesai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, laman Facebook rasmi ProMedia Tajdid pada 11 Oktober lepas memuat naik surat dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis bertarikh 24 Ogos 2023 yang meminta JAIPs agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam negeri itu.

Dalam surat ditulis Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pihak jabatan mufti negeri itu berpendapat ada hal yang tidak jelas dan menimbulkan persoalan berhubung kutipan Tabung Aman Palestin.

"Aduan beberapa pihak meminta agar pertubuhan itu disiasat berkaitan wang yang dipungut dan dikumpulkan selama ini.

Artikel Berkaitan:

"Untuk itu, pihak jabatan ingin memberikan pandangan agar pihak jabatan tuan (JAIPs) tidak membenarkan pertubuhan tersebut membuat kutipan di premis-premis agama Islam di negeri ini sehingga siasatan dan kepastian diperolehi," tulisnya.

Pada 9 Oktober lepas, Sinar Harian melaporkan Mufti Perlis menerusi satu hantaran di aplikasi X meminta orang ramai berhati-hati dengan 'scammer' atau sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan mengumpul dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.

Beliau tidak menolak ada pihak sedemikian akan muncul untuk meraih simpati orang ramai dengan menggunakan isu serangan Israel terhadap Palestin demi kepentingan diri.

“Bila Palestin diserang, ramai scammer dalam negara kita akan mengambil kesempatan mengumpul dana kononnya untuk Palestin. Padahal untuk diri mereka sendiri.

“Hati-hati dengan penunggang nama Palestin!” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!