Kerajaan teruskan subsidi untuk rakyat - Anwar
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat, namun menegaskan ia perlu dibuat penyasaran supaya ketirisan dapat dielakkan dan memastikan hanya rakyat yang layak sahaja mendapat manfaatnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada masa ini, golongan maha kaya dan 3.5 juta orang asing turut menikmati manfaat subsidi yang diberikan kerajaan.
"Sejumlah RM81 bilion subsidi diberikan kerajaan, tertinggi di dunia. Walaupun saya dikecam 'bila kita jadi kerajaan hari ini, minyak akan turun esok', ia satu konteks yang berbeza kerana ketika itu harga minyak di Arab Saudi ialah 50 sen, sekarang harga di sana RM2.85 dan kita RM2.05.
"Minyak, ayam dan elektrik pula dinikmati oleh 3.5 juta orang asing, 10 peratus orang kaya dan ia tidak termasuk yang diseludup keluar. Disebabkan itulah perancangan perlu dilakukan untuk mengelakkan ketirisan berlaku,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Oktober, di sini pada Isnin.
Memberikan contoh subsidi diesel, Anwar berkata, perlunya dasar untuk membaiki ketirisan diesel kerana kerajaan mendapati jumlah kereta tidak meningkat puluhan peratus, namun penggunaan diesel meningkat puluhan peratus.
"Sebelum Covid-19, banyak pengangkutan guna minyak diesel, itu kita faham. (Tetapi) sekarang kereta tak meningkat puluhan peratus tetapi penggunaan minyak diesel meningkat puluhan peratus.
"Maknanya minyak diesel itu dibawa keluar dari kapal laut dan sempadan, sebab itu sekarang kita buat dasar perbaiki tentang (subsidi) diesel,” kata beliau. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!