Perjuangan menentang kekejaman Israel perlu teratur, strategik

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Perjuangan menentang kekejaman rejim Israel terhadap Palestin perlu dilakukan secara teratur dan strategik supaya permusuhan serta peperangan yang berterusan berjaya ditamatkan.

Sehubungan itu Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru negara-negara Islam untuk bersatu dalam usaha mencari penyelesaian yang adil dan saksama bagi rakyat Palestin agar perjuangan negara itu tidak sia-sia.

"Perkim mengutuk tindakan media Barat dan Amerika Syarikat yang berterusan mencipta naratif membela Israel dengan menyifatkan kekejaman terhadap warga Palestin sebagai tindak balas kepada pengganas, tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa.

"Tindakan Hamas ialah langkah orang yang sudah tenggelam punca, hilang harapan untuk mendapatkan keadilan daripada negara besar yang mendabik dada sebagai pejuang keadilan dan kemanusiaan.

"Hakikatnya serangan terhadap negara itu merupakan balasan kepada orang yang berjuang atas kebebasan dan hak mereka yang dirampas dengan paksaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, kekejaman yang dilakukan Israel bukan isu baharu, malah berterusan sehingga hari ini dengan angka korban semakin meningkat termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas dan ribuan lagi yang cedera.

"Selama tujuh dekad, Israel sudah melakukan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai, genosid dan kekejaman yang tidak dapat dibayangkan terhadap rakyat Palestin.

"Tindakan Hamas ialah langkah yang dijangka dilakukan oleh mana-mana orang yang telah lama dijajah, dibunuh dan dihina tanpa rasa bersalah atau sebarang kekesalan," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!