Malaysia akan lakukan apa sahaja tindakan untuk hentikan kekejaman Israel - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan melakukan apa sahaja tindakan yang perlu untuk menyelamatkan rakyat Palestin daripada terus menjadi mangsa kekejaman Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah sampai ketikanya kerajaan Malaysia dengan dukungan negara lain menghentikan kezaliman Israel ke atas Palestin.

"Dalam perbincangan kita dengan wakil-wakil negara (lain), nampak ada keresahan dan timbul jalan buntu (untuk hentikan perang) terutama kerana Israel mendapat dukungan penuh Amerika Syarikat dan Eropah.

"Peringkat awal ini Menteri Luar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) akan mewakili negara (berjumpa dengan negara Islam) bagi menyampaikan hasrat kita dengan satu matlamat untuk menyelamatkan keadaan sekarang dan mengambil apa sahaja langkah yang perlu.

"Saya akan susuli (dengan berangkat ke) Riyadh, Arab Saudi dan sekiranya perlu akan bantu rakan-rakan di sana untuk mencari penyelesaian yang baik," katanya ketika memberi penerangan mutakhir perang Palestin-Israel di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Zambry akan berangkat ke Jeddah malam ini, atas undangan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammad Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghadiri mesyuarat tergempar.

Katanya, Zambry diberi mandat penuh untuk berbincang dan mengambil keputusan apa sahaja yang mungkin dalam menyegerakan bantuan kemanusiaan.

Menurutnya, Zambry sebelum ini telah menghubungi negara-negara Arab, Turkiye yang terlibat bagi membincangkan tentang krisis perang itu.

Malah, Anwar memaklumkan, beliau sendiri pada Sabtu dan Ahad telah menghubungi ketua-ketua negara bagi menyatakan bahawa langkah harus lebih tegas dan keras untuk menyekat kepungan menyeluruh ke atas Gaza serta arahan keras Israel memaksa rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka.

Artikel Berkaitan:


Menyentuh mengenai kunjungannya ke Riyadh, Anwar memberitahu beliau akan berlepas ke negara itu pada Khamis ini bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, bagi mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel.

"Putera Mohammad menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Oktober supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.

"Saya akan berbincang dengan teman lain, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Mesir dan Turki, sama ada perlu untuk mengadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!