Lotus’s Malaysia, Kechara Soup Kitchen kumpul 1,500kg makanan
SEMPENA Hari Makanan Sedunia, Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) menyerahkan 1,500 kilogram (kg) makanan stabil pantri, air minuman, minyak masak dan keperluan lain kepada Kechara Soup Kitchen.
Program itu dilaksanakan untuk tahun kedua yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih 300 keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.
Salah satu hasrat utama inisiatif tersebut adalah untuk memastikan bank makanan Kechara mempunyai bekalan makanan berkhasiat yang paling banyak diminta dan mendapatkan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat dari Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel berkata, untuk kempen derma makanan yang berlangsung antara 30 September hingga 15 Oktober 2023, Lotus’s telah meletakkan tong makanan secara strategik di tujuh cawangannya seperti di Kepong, Tanjung Pinang, Station 18, Melaka, Seri Alam, Bukit Indah dan Ipoh Garden untuk menggalakkan penyertaan daripada pelanggannya dan orang awam.
“Sebagai peruncit yang prihatin dan didorong oleh semangat #KitakanJiran, kami memahami bahawa kami mempunyai peranan dalam menyokong usaha yang dijalankan oleh pertubuhan amal seperti Kechara Soup Kitchen dalam menangani masalah ketidakamanan makanan dalam kalangan keluarga dan individu yang memerlukannya.
“Melalui inisiatif pendermaan makanan ini, kami secara kolektifnya boleh memberi impak yang besar kepada kehidupan mereka yang menghadapi kelaparan atau kekurangan zat makanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Ahad, Azliza menyerahkan kutipan makanan sumbangan pelanggan Lotus’s dan orang ramai kepada Pengarah Pemasaran Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chris Leong Method Tit Tar, Datuk Seri Chris Leong sukarelawan aktif di Kechara Soup Kitchen pada majlis yang diadakan di Lotus’s Kepong.
Bagi menyokong kempen tersebut, Lotus’s Malaysia menyumbang lebih banyak makanan, barangan dan keperluan lain bernilai RM3,000 ke dalam kumpulan makanan tersebut.
“Sambutan untuk program ini adalah positif. Melihat ramai pelanggan dan orang ramai yang sudi menyumbangkan barangan makanan kepada mereka yang kurang bernasib baik sememangnya memberi inspirasi.
"Dengan sambutan yang begini positif, kami berharap dapat meneruskan inisiatif ini pada masa hadapan," tambah Azliza.
Selaras dengan komitmen Lotus’s Malaysia untuk mengalihkan sisa makanan dari tapak pelupusan sampah, peruncit tersebut telah bekerjasama dengan rakan kongsi amalnya, termasuk Kechara Soup Kitchen dalam Program Derma Lebihan Makanan perdana sejak tahun 2016.
Kerjasama itu bertujuan untuk mengagihkan semula buah-buahan, sayur-sayuran dan produk bakeri yang tidak terjual, tetapi masih selamat untuk dimakan manusia terhadap individu dan keluarga yang memerlukan.
Sebanyak 2.4 juta kg makanan iaitu bersamaan 10.4 juta hidangan telah diagihkan semula kepada lebih daripada 120,000 keluarga setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!