Jurulatih Tajikistan sudah mula cipta alasan
PENGENDALI Tajikistan, Petar Segrt bagaikan sudah mencipta alasan sebelum pertembungan final Pestabola Merdeka menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Segrt berkata, pasukan kendaliannya kali ini agak tempang tanpa kehadiran 15 pemain yang pernah menewaskan Harimau Malaya di final Piala Raja Thai pada tahun lalu.
Menurutnya, pasukan di ranking ke-110 dunia itu membawa ramai pemain muda kali ini dengan purata pemain berusia 21 tahun.
"Kami kehilangan 15 pemain dan esok kami berkemungkinan akan mempunyai pasukan dengan pemain termuda di dunia.
ARTIKEL BERKAITAN:Jurulatih India salahkan padang
ARTIKEL BERKAITAN:Harimau Malaya mahu lunas dendam ke atas Tajikistan
ARTIKEL BERKAITAN:Peluang Harimau Malaya julang trofi
Saya tidak melihat kepada pasukan Malaysia kerana sudah tentu anda mempunyai kualiti yang jauh lebih baik..
"Anda akan ada kelebihan daripada segi penyokong, stadium dan dalam segala keadaan.
Di Malaysia, kami tidak perlu malu jika kalah kerana kami pernah menewaskan anda di Thailand selain kami kehilangan ramai pemain berbanding ketika Piala Raja Thai.
"Esok akan menjadi permainan berbeza, tetapi kami akan cuba buat yang terbaik," katanya dalam sidang media pra perlawanan di sebuah hotel di Subang Jaya pada Isnin.
Tajikistan diberikan 'bye' untuk layak ke final selepas Palestin menarik diri, manakala Malaysia pula menewaskan India 4-2 dalam aksi pada Jumaat untuk menempah perhitungan dengan pasukan kendalian Segrt itu.
Dalam pada itu, Segrt turut mengharapkan pengadil dapat menjalankan tugas yang baik dan tidak mudah memberikan sepakan penalti dalam perlawanan final nanti.
"Saya melihat video perlawanan Malaysia menentang India, saya bercakap dengan Igor Stimac (pengendali India) bahawa mereka bermain dengan baik, tetapi tidak bertuah dengan pengadil.
"Saya harap situasi ini lebih baik pada esok, tetapi inilah bola sepak dan akan terima apa jua keputusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!