Harimau Malaya mampu benam Tajikistan
HARIMAU Malaya sudah bersedia untuk membenam pasukan di ranking ke-110 dunia, Tajikistan dan memenangi kejohanan Pestabola Merdeka dalam aksi final yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa. Pengendali skuad negara, Kim Pan-gon berkata, pemain berada dalam keadaan motivasi terbaik untuk meraih kemenangan sekali gus memastikan penganjuran semula Pestabola Merdeka kali ini akan menjadi satu momen bermakna buat pasukan kebangsaan.
Menurut Pan-gon, beliau menuntut penyokong Harimau Malaya untuk turun memenuhi stadium dan berjanji pasukan negara akan mempamerkan persembahan berkualiti sekali gus muncul juara. "Semua pemain sudah mempunyai motivasi terbaik untuk mengharungi aksi final ini. Kami juga sudah ada pengalaman bermain menentang Tajikistan di Piala Raja Thai (tahun lalu). Kami tidak ada banyak memori yang bagus tentang lawan, jadi pemain bersedia untuk perlawanan seterusnya.
"Kami bermain dengan baik pada perlawanan sebelum ini di (Piala Raja Thai). Tetapi, kerana hujan lebat ia memberikan kesan. Esok harapan kami cuaca dan situasi dalam keadaan baik. "Kami akan memberikan persembahan berkualiti dan membuktikan bahwawa kami lebih bagus daripada Tajikistan," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di sebuah hotel di Subang Jaya pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN:Peluang Harimau Malaya julang trofi
ARTIKEL BERKAITAN:Harimau Malaya mahu lunas dendam ke atas Tajikistan
ARTIKEL BERKAITAN:Jurulatih Tajikistan sudah mula cipta alasan
Sebelum ini, dalam aksi King's Cup di Thailand pada tahun lalu, skuad negara terpaksa akur tewas kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Malaysia yang berada di ranking ke-134 dunia mara ke final Pestabola Merdeka selepas menewaskan India 4-2 pada Jumaat manakala, Tajikistan pula mendapat 'bye' selepas Palestin menarik diri.
Untuk rekod, Pestabola Merdeka kali ini diadakan semula selepas 10 tahun dengan kali terakhir dianjurkan pada 2013 yang menyaksikan pasukan bawah 23 tahun (B-23 ) negara muncul juara.
Dalam pada itu, Pan-gon hairan dengan kenyataan daripada pengendali Tajikistan, Petar Segrt yang mengakui berdepan tugas sukar di final selepas kehilangan 15 pemain yang menewaskan Malaysia di Piala Raja Thai tahun lalu.
"Kenapa dia (Segrt) menangis sebelum perlawanan bermula? Itu adalah tabiat buruk dan seperti satu alasan. Sebagai jurulatih, saya tidak akan bercakap seperti ini.
"(Dia perlu) percaya kepada pemain dan apa yang dia ada adalah yang terbaik. Sikap perlu berada pada tahap terbaik dan cuba mencari kemenangan.
"Jika seorang jurulatih atau pemimpin sudah takut dan tidak yakin (sebelum perlawanan bermula), ia satu sikap yang tidak bagus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!