Sultan Johor kurnia bantuan 10,000 paket beras kepada golongan memerlukan
JOHOR BAHRU - Sultan Johor sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan amat memahami beban dihadapi golongan miskin yang berdepan dengan kekurangan serta kenaikan harga beras.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sentiasa yang mengikuti perkembangan semasa serta amat sedih apabila membaca keluh-kesah dibangkitkan rakyat susulan kenaikan bahan makanan itu.
“Saya mendengar dan memahami keresahan dirasai seluruh Bangsa Johor mengenai kekurangan dan kenaikan harga barangan asas seperti beras dan lain-lain lagi,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Isnin.
Justeru, dalam meringankan beban rakyat, Sultan Johor berkenan mengurniakan bantuan beras menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
“Saya juga memahami beban dihadapi golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah dalam menyara keluarga masing-masing.
“YSIJ akan menyampaikan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram kepada golongan memerlukan yang dikenal pasti penerimanya,” titah baginda.
Terdahulu Sultan Johor mencemar duli berangkat ke majlis pengurniaan sumbangan beras YSIJ yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani; Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Datuk Mohd Anizam Jamian.
Baginda mengurniakan 10,000 paket beras kepada golongan memerlukan di 10 daerah termasuk penerima daripada Polis Kontinjen Johor dan Markas 7 Briged.
Johor Bahru menerima paling banyak iaitu 580 paket beras; Muar (340); Batu Pahat (432); Segamat (305); Kluang (71); Pontian (264); Kota Tinggi (477); Mersing (149); Tangkak (141) dan Kulai (251).
Polis Kontinjen Johor pula menerima 3,990 beg beras, manakala Markas 7 Briged sebanyak 3,000 paket melibatkan kategori lain-lain pangkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!