Kerja naik taraf dua lebuh raya siap sepenuhnya

Onn Hafiz (kanan) ketika meninjau keadaan Lebuh Raya Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Ahad yang selesai mengalami proses naik taraf
Onn Hafiz (kanan) ketika meninjau keadaan Lebuh Raya Pasir Gudang, Pasir Gudang pada Ahad yang selesai mengalami proses naik taraf
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang dan Lebuhraya Permas-Pasir Gudang di sini sudah siap sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan bermula pertengahan Julai lalu merangkumi jarak sepanjang 19 kilometer (km).

Beliau berterima kasih kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang meluluskan peruntukan RM20.8 juta untuk kerja-kerja naik taraf dua lebuh raya berkenaan.

"Ini adalah hasil kunjungan hormat wakil kerajaan negeri ke Kementerian Kerja Raya pada Mei lalu. Tidak dilupakan terima kasih kepada pihak Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Fazli Salleh dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor.

"Ini termasuk pihak syarikat yang telah bertungkus lumus menyiapkan projek ini mengikut garis masa yang ditetapkan termasuk memastikan penyuraian trafik sepanjang projek ini dalam keadaan terkawal," katanya dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook miliknya.

Pada Disember tahun lalu Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat menyiarkan laporan bertajuk Lebuhraya Pasir Gudang umpama perangkap maut berikutan keadaannya yang sudah terlalu daif.

Lebuhraya Permas-Pasir Gudang di Johor Bahru yang sudah siap dinaik taraf
Lebuhraya Permas-Pasir Gudang di Johor Bahru yang sudah siap dinaik taraf

Sebelum ini terdapat lebih 50 lubang di sepanjang lebuh raya sepanjang 38km itu selain menakung air setiap kali hujan yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau turut meninjau beberapa jalan lain yang perlu diberi perhatian segera iaitu Jalan Kota di lampu isyarat Kawasan Perindustrian Kota Puteri di sini dan Jalan Kempas sepanjang 2.2km

"Kerajaan negeri akan terus memantau dan mengambil serius sebarang aduan daripada rakyat berkenaan dengan kerosakan jalan raya yang berlaku di seluruh Johor dan bekerjasama dengan agensi seperti JKR, bagi menyelesaikan isu ini dengan teratur.

"Semoga kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mampu memberi keselesaan kepada seluruh Bangsa Johor serta memastikan infrastruktur asas di Johor ini sentiasa dalam keadaan yang baik, ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!