'Bukan rakyat Malaysia yang kibar lah...'
SEREMBAN - Bendera negara China yang dikibarkan dalam program Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa yang berlangsung di daerah ini pada Sabtu lalu bukannya dikibarkan oleh rakyat negara ini sebaliknya dari negara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perarakan terbabit dan turut mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
"Ia perarakan keagamaan dan kebudayaan yang turut disertai oleh beberapa negara luar, malah ada juga bendera negara Vietnam dan Thailand.
"Berhubung video yang tular itu, setakat ini pihak kami belum menerima apa-apa laporan polis dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh isu 3R," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, video perarakan itu dengan keterangan berunsur perkauman sengaja ditularkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Beberapa video dan gambar berkenaan perarakan itu ditularkan di media sosial sejak semalam (Ahad) sehingga menimbulkan kegusaran ramai yang turut meminta polis menyiasat mengenainya.
"Bendera negara itu dikibarkan peserta dari China dan ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana seperti di sukan Olimpik, kita mengibarkan Jalur Gemilang ketika berarak di dalam stadium," katanya.
Menurutnya, perarakan itu bukan hanya membabitkan peserta dari China, malah disertai lima negara lain iaitu Taiwan, Thailand, Vietnam, Singapura termasuk Malaysia.
Tambah Nicole, pesta berkenaan adalah salah satu tarikan pelancong di Negeri Sembilan yang diadakan setiap tahun.
"Saya harap perkara ini dapat dihentikan kerana bukan hanya menimbulkan rasa tidak aman malah boleh memecah-belahkan semangat harmoni yang dibina selama ini.
"Festival kebudayaan Cina antarabangsa ini mendapat sambutan hangat daripada peserta Malaysia yang datang dari Pulau Pinang, Kedah dan beberapa negeri lain di negara ini," katanya.
Menerusi video ditularkan, pengguna TikTok tertera kapsyen pada video yang berbunyi 'perarakan sambil kibar bendera China. Datang anda tak diundang, pergi anda kami tak hairan. Jika kau bangga dengan negara kau, sila keluar dari negara kami'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!