Mindef, ATM siap sedia hadapi musim banjir
SHAH ALAM - Persediaan menghadapi banjir sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akibat cuaca monsun yang dijangka melanda bermula November hingga Disember tahun ini.
Mindef dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersedia mengatur gerak anggota dan asetnya terutama di kawasan berisiko tinggi serta sering dilanda bencana alam akibat fenomena musim tengkujuh.
“Persiapan tersebut merangkumi kekuatan anggota dan aset ATM yang mencukupi dan boleh digerakkan dalam masa yang singkat dan pada bila-bila masa diperlukan.
“Pihak ATM sentiasa bersedia melaksanakan tugas sekundernya bersama agensi awam yang lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni (OP MURNI),” katanya pada Isnin.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan melibatkan empat negeri pada Khamis.
Menurut notis tersebut, Kedah, Selangor, Sabah dan Sarawak berada dalam senarai lokasi berisiko banjir kilat berdasarkan maklumat ramalan hujan dari Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) serta model ramalan banjir JPS.
Justeru itu, Mindef memaklumkan bahawa kerjasama tersebut turut meliputi aspek perancangan dan koordinasi tindakan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan di setiap daerah bagi memastikan segala bentuk bantuan dan operasi berjalan dengan lancar.
Ujarnya, ATM akan terus memberi tumpuan terhadap operasi banjir di kawasan terjejas merangkumi tiga fasa utama iaitu atur gerak OP MURNI iaitu praaturgerak banjir (sebelum), semasa banjir dan pasca banjir (selepas).
“Demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan rakyat, Mindef dan ATM akan tetap bersama dan sentiasa bersedia menghulurkan khidmat bakti.
“Pelaksanaan perancangan khususnya operasi pasca banjir di negeri terlibat akan pemakluman sebarang perkembangan mengenai operasi berkaitan dari masa ke semasa juga akan dilakukan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!