RM105.3 bilion pelaburan baharu dijangka masuk Malaysia tahun depan

Tengku Zafrul - Foto: Bernama
Tengku Zafrul - Foto: Bernama
A
A
A

DEWAN Rakyat pada Isnin diberitahu sebanyak RM105.3 bilion pelaburan baharu dijangka masuk ke Malaysia pada tahun depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia membabitkan 984 projek yang setakat 31 Ogos lalu berada di peringkat rundingan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Jumlah berkenaan meliputi jangkaan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM89.5 bilion sementara pelaburan langsung domestik (DDI) pula sebanyak RM15.8 bilion.

"Jumlah pelaburan itu merangkumi projek-projek daripada sektor perkilangan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM73.6 bilion melibatkan 53 cadangan projek serta 931 cadangan projek dalam sektor perkhidmatan di bawah seliaan MIDA dengan cadangan pelaburan sebanyak RM31.7 bilion," katanya ketika sesi pertanyaan menteri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) tentang jangkaan pelaburan asing masuk pada 2024 dan bagaimana kementerian menyeimbangkan pelaburan masuk itu di semua negeri bukan hanya tertumpu di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu, pelaburan yang masuk ke semua negeri dapat dilihat melalui projek pelaburan yang telah berjaya diluluskan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama berjumlah RM267.8 bilion sepanjang 2022, melibatkan 4,517 projek dan dijangka mewujudkan 140,440 peluang pekerjaan di negara ini.

“Daripada jumlah ini, DDI merupakan penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM104.4 bilion (39 peratus) manakala FDI menyumbang sebanyak RM163.3 bilion (61 peratus)," tambahnya.

Menurut beliau, lima negeri utama yang diluluskan pelaburan pada 2022 adalah Johor (RM70.6 bilion), Selangor (RM60.5 bilion), Sarawak (RM28.8 bilion), Kuala Lumpur (RM25.0 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

Artikel Berkaitan:

“Pelaburan yang diluluskan di Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor hanyalah merangkumi 31.9 peratus. Ini menunjukkan bahawa pelaburan yang diluluskan di Malaysia tidak hanya tertumpu di Lembah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pada dasarnya, pemilihan lokasi pelaburan oleh pelabur adalah atas keputusan perniagaan pelabur itu sendiri dan banyak bergantung kepada ekosistem serta kekuatan kluster industri di sesebuah negeri.

“Selain itu, MIDA menyediakan pakej insentif cukai kepada pelabur domestik dan asing bagi menggalakkan pelabur-pelabur ini mengeluarkan keluaran atau menjalankan aktiviti bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!