Kenaikan harga lantai belian padi suntik semangat tingkatkan hasil

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik daripada RM1,200 sebelum ini memberi suntikan semangat kepada pengusaha padi di Perak, Kelantan dan Kedah untuk terus meningkatkan pengeluaran tanaman masing-masing.

Di PERAK, seorang pesawah Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi, 39, berkata, peningkatan harga lantai belian padi itu sedikit sebanyak dapat menampung harga kos benih padi dan input pertanian yang semakin meningkat ketika ini.

Beliau yang mengusahakan sawah padi seluas kira-kira 12 hektar di Kuala Kurau di Daerah Kerian sejak 2008, berkata, golongan pesawah masih boleh bernafas biarpun benih padi dijual pada harga RM53 setiap guni berbanding RM35 sebelum ini.

"Kami menyambut baik pengumuman kenaikan harga lantai belian padi, ditambah dengan kadar Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 per tan metrik. Namun, jika harga lantai belian padi dapat dinaikkan lagi sekurang-kurangnya RM1,500 per tan metrik, kehidupan pesawah akan lebih terjamin," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan bagi membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

Anwar berkata, kerajaan mengambil kira rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 satu tan sejak 2014, sedangkan harga belian oleh pengilang sebelum ini jauh lebih tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Peringat di KELANTAN, Azmi Ishak pula berkata, pengumuman itu menunjukkan kerajaan mendengar rungutan pesawah padi dan semestinya memberi kegembiraan kepada 720 pengusaha padi yang berada di bawah PPK berkenaan.

"Kenaikan ini dapat menampung kos menghasilkan padi, yang mana secara keseluruhannya RM1,800 mendapat manfaat menerusi bantuan dan subsidi yang dinaikkan baru-baru ini. Ini menunjukkan kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab menaikkan pendapatan pengusaha padi di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Unit Bendang Bechah Mulong Peringat, Mohd Fadli Mohd Noor berkata, penetapan harga lantai belian padi itu membolehkan pesawah merancang sasaran untuk menambah pengeluaran hasil padi, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan.

"Menerusi kenaikan harga lantai ini memberi kami bersemangat untuk mengeluarkan hasil yang lebih berkualiti selepas ini. Kenaikan harga lantai belian padi tersebut juga akan digunakan untuk menyasarkan pusingan modal mengusahakan padi termasuk boleh menimbal kos harga input,” katanya.

Di KEDAH, Ahmad Bakar, 71, dari Alor Setar yang sudah lebih 30 tahun mengusahakan tanaman padi berkata, kenaikan harga lantai belian padi itu sudah pastinya membantu ramai pesawah di negeri jelapang padi itu yang merupakan sumber pendapatan mereka.

"Kalau ikut sudah lama harga lantai ini tidak dinaikkan... jadi, walaupun kenaikan tidak terlalu banyak, sekurang-kurangnya ia membantu golongan pesawah ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!