Dua nelayan ditemukan lemas dipercayai bot karam

Pasukan penyelamat membawa salah seorang mangsa yang ditemui lemas di perairan Sungai Kayan di Sitiawan pada Isnin.- Foto JBPM PERAK
Pasukan penyelamat membawa salah seorang mangsa yang ditemui lemas di perairan Sungai Kayan di Sitiawan pada Isnin.- Foto JBPM PERAK
A
A
A

SITIAWAN - Dua nelayan yang dilaporkan hilang pada Ahad ditemui lemas di perairan Sungai Kayan di sini pada Isnin.

Mangsa, Mohamad Afandy Mamosati dan Mohd Amirul Azril Mohd Shafiee, masing-masing berusia 34 tahun ditemui berasingan selepas bot yang mereka naiki dipercayai karam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai dua lelaki hilang semasa membawa sampan di Sungai Kayan di sini jam 8.20 malam pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa keluar lebih kurang jam 1.30 tengah hari untuk membawa balik sampan milik bapa salah seorang mangsa dari Kampung Sungai Tiram, Sitiawan ke Pengkalan Kota Setia, Kampung Gajah.

"Bagaimanapun isteri salah seorang mangsa memaklumkan kepada orang awam bahawa suaminya gagal dihubungi sebelum sampan dinaiki kedua-dua mangsa ditemui di Sungai Kayan. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dengan bantuan beberapa agensi penyelamat.

"Pada 16 Oktober, mayat kedua-dua mangsa ditemui pada jam 8.20 pagi dan 12.30 tengah hari di sekitar perairan Sungai Kayan oleh pasukan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Nordin berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, antara agensi yang terlibat di dalam operasi menyelamat itu ialah polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 7.58 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, pasukan penyelamat membuat pencarian di permukaan di kawasan mangsa dipercayai jatuh.

Jelasnya, mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.55 tengah hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!