Produksi Famili Duo 3 mohon maaf pada Shila, Syahir Amzah
PIHAK prokduksi Famili Duo musim ketiga (FD3) memohon maaf kepada penyanyi Shila dan adiknya, Syahir Amzah selepas insiden masalah teknikal yang berlaku pada awal persembahan mereka.
Jelas Penerbit Eksekutif FD3, Muhammad Sufian Che Isa, masalah itu berlaku akibat kehilangan isyarat pada mikrofon, bukan sahaja pada Shila dan adiknya, tetapi juga pengacara dan mikrofon lain.
"Ini adalah masalah yang tidak terjangka dan bukan disengajakan. Isyarat frekuensi mikrofon tiba-tiba hilang.
"Bukan mikrofon Shila dan Syahir sahaja yang bermasalah, tetapi mikrofon 'back up' juga hilang isyarat.
"Naib baik masalah itu berlaku dalam tempoh 10 saat sahaja. Kalau lebih, kita memang kena buat sesuatu," ujarnya.
Sementara itu, Shila terbuka berdepan dengan insiden yang tidak terjangka itu dan berterima kasih kepada adiknya yang bijak mengawal situasi.
"Seperti kehidupan, persembahan juga ada masalah teknikal (ketawa). Jadi kita teruskan sahaja.
"Benda seperti ini (masalah teknikal) bukan boleh dijangka, masa latihan semua lancar.
"Macam saya cakap pada Syahir, kita dah usaha, kena tawakal. Apa pun berlaku teruskan sahaja, tetapi saya lupa pesan pada diri sendiri sehingga nampak ketara saya panik," katanya.
Tambah Syahir, mereka tidak kecewa dengan masalah yang berlaku, tetapi merasakan boleh memberi lebih baik seandainya masalah itu tidak berlaku.
"Mungkin penonton akan lebih puas sekiranya tidak ada masalah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!