Tragedi strok haba: Dua penuntut pulih, tujuh masih dirawat

Laporan Sinar Harian pada Isnin
Laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Dua daripada tujuh penuntut kursus tempur pegawai muda yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, Johor akibat simptom strok haba telah dibenarkan keluar.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan berkata, lima penuntut masih dirawat dan dilaporkan stabil manakala dua lagi yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail telah sedarkan diri.

"Keadaan mereka beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan rapi.

"Tentera Darat memandang serius berkenaan insiden ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian di samping melaksanakan penambahbaikan kepada pengendalian sistem latihan, jika perlu," katanya pada Isnin.

Media sebelum itu melaporkan seramai 10 penuntut yang menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Kota Tinggi, pada Jumaat dipercayai mengalami simptom strok haba.

Menurutnya, pihak mereka juga juga sedang mengusahakan segala bentuk bantuan dan kelayakan yang boleh diperolehi mengikut peraturan sedia ada bagi membantu waris pegawai yang meninggal iaitu Allahyarham Leftenan Muda, Emil Syahid Iskandar.

"Panglima dan seluruh warga Tentera Darat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, diharapkan mereka dapat menerima dugaan ini dengan tabah. Semoga ditempatkan bersama orang-orang beriman," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!