Padah pecah cermin kereta
KUALA TERENGGANU - Padah memecahkan cermin kereta milik rakan adik perempuannya, seorang lelaki dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Adnan Mohd, 39, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.
Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan kereta jenis Proton Saga FLX.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memecahkan cermin kenderaan tersebut dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta yang nilainya RM280.
Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di hadapan rumah di Kampung Tualanh, Manir di sini kira-kira jam 9 malam pada 17 Disember lalu.
Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku semasa tertuduh berada di rumahnya sebelum dikatakan mengamuk secara tiba- tiba.
Tertuduh bertindak menerajang pintu bilik adiknya, 19, sehingga pecah.
Masih tidak berpuas hati, tertuduh kemudian mengambil besi di luar rumah sebelum bertindak memecahkan cermin sisi sebelah kiri.
Akibat perbuatan itu, kereta yang dipinjam adiknya daripada rakan turut mengalami kerosakan kemek di bahagian bumbung.
Tidak berpuas hati dengan kejadian itu selain bimbang akan keselamatan diri berikutan tertuduh seorang penagih dadah sebelum ini, adiknya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Seterusnya, tertuduh ditangkap sepasukan anggota dari Balai Polis Manir di sini pada jam 9.40 malam hari sama laporan diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!